Monday, December 29, 2014

Kelahiran Pertama Kembar

Bagi penternak, masa paling indah adalah bila kelahiran baru tiba. Itulah seri yang memberi motivasi baru kepada kandang. Beban kerja mungkin akan bertambah, tapi ketika itulah penghasilan sebenar sesebuah kandang itu datang.


Sebagai penternak yang masih baru, setiap kelahiran adalah suatu "show" yang menakjubkan. 'Show" yang dinanti-nantikan. "Show" dimana kita akan melakukan pemerhatian.

Satu per dua dari populasi kandang kami adalah betina dara. Ibu-ibu yang baru mahu menimang anak kelahiran pertama. 

Kelahiran pertama hujung tahun 2014

Namun kelahiran pertama kali ini amat mengejutkan. Kambing yang pertama beranak bagi musim ini adalah seekor betina dara. Kelahiran pertama. Ketika anaknya keluar kelihatan saiznya agak kecil berbanding saiz yang biasa kami terima pada musim beranak yang lalu. Hati terdetik. Adakah kembar?

Setelah keluar anak pertama sang ibu bertindak biasa. Menjilat lendir pada anaknya. Namun tindak-tanduknya agak pelik bila sesekali bergerak-gerak seperti mencari keselesaan dan memperbaiki kedudukan. Tidak lama setelah itu si ibu duduk semula. Dalam hati, "ini pasti kelahiran kedua!" MasyaAllah. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta Alam. Tuhan langit dan bumi. Tuhan sebaik-baik pencipta dan pemberi rahmat. 

Perasaan gembira tidak dapat digambarkan. Gembira yang sangat kerana tidak menyangka bakal menerima anak kembar dari kelahiran pertama. Akankah ada lagi anak kembar berikutnya?


Air ketuban ini keluar pada sekitar jam 6 petang

Setelah beberapa hari satu demi satu kambing mula beranak. Kambing diatas ini pula ada kisah tersendiri. Air ketubannya pecah sekitar jam 6 petang. Kami segera memasukkannya di dalam petak beranak. Tunggu dan tunggu tidak juga keluar anaknya. Kami harus segera pulang kerana belum menunaikan kewajiban terhadap pencipta.

 
Sekitar jam lapan malam. Setelah selesai solat maghrib barulah kami kembali ke kandang untuk melihat apa yang berlaku kepada si betina dara yang mahu beranak tadi. Kami temui si dara tadi masih lagi tidak melahirkan kandungannya. Oh Tidak!! Ini suatu yang tidak baik.


Kami keluarkan dia dari petak beranak. Mungkin terlalu sempit baginya untuk meneran di dalam petak tadi. Lama juga kami menanti perkembangannya. Tidak juga kunjung tiba kelahiran yang dinanti. Sekitar hampir jam sepuluh malam barulah kedua anaknya selamat dilahirkan. Rekod kelahiran yang paling lambat keluar setelah air ketuban pecah.

Beranak atas tanah lebih baik?
Satu hari kami gembala lewat. Petang hampir jam enam baru kami kembali ke kandang. Sebaik tiba di kandang kami temukan seekor betina dara dah pecah air ketuban. Kandang masih tertutup. Dari dulu memang teringin agar ada kambing yang lahir di atas tanah. Namun kami tidak confident takut kalut dan masalah yang tidak diingini timbul. Ok, why not we give a try! 

Kebetulan petang tu memang rasa nak bagi kambing makan lebih sekitar kandang. Tak mahu bagi mereka naik dulu. Jadi kami pun balik tunai kewajipan terhadap ilahi dan segera kembali ke ladang. Tiba di ladang si ibu masih belum beranak. Alhamdulillah, bolehlah tengok "show" live on the ground!

Ketika anak pertama keluar tidak ada apa-apa berlaku kerana kengkawan mereka masih belum perasan. Namun ketika berusaha meneran untuk anak kedua semua mula kerumun dan mencium anak pertama tadi. Kami pun segera buka pintu kandang. Semua segera naik kecuali ibu yang sedang meneran.

Anak kelahiran atas tanah ini kelihatan lasak banding semua yang lain. 


Ada juga berita duka. Dua ekor betina dara yang paling lambat beranak pada musim ini mengalami kematian. Kambing betina dara ini mula pecah ketuban sekitar jam 1 tengah hari. Namun kami terpaksa membiarkan dia di kandang kerana ada urusan sebentar. Sekembali ke kandang kami dapati salah satu dari mereka telah pun keras kaku. Mati. Sangat besar. Jantan. Mungkin kerana lemas.   

Dari 7 ekor betina dara 5 ekor beranak kembar. Namun yang beranak kelahiran kedua banyak juga yang beranak satu. Alhamdulillah. Segala puji syukur hanya milik Allah.

Semoga kesemua anak-anak kambing dapat membesar dengan sihat. Amin.

1 comment:

  1. Tahniah..Menakjubkan jugak kerana first birthings dah dapat kembar...mungkin kerana baka dari kandang Bro.Alwi!!! Alhamdulillah!! (Es Emdi)

    ReplyDelete